Wednesday, July 6, 2011

Israk mikraj

Isra’ dan Mikraj; Sebuah pandangan Semula.
Abu ‘Aliyah.

Muqaddimah.
Alhamdulillah pertama-tama dan selama-lamanya. Alhamdulillah yang telah memperjalankan Rasul pada malam hari dari Baitnya di Makkah ke Baitnya di al Quds. Selawat dan Salam ke atas Rasul ummah ini dan Rasul yang melalui jalan dakwah yang sukar untuk menyebarkan rahmat kepada ummah ini dan keluarga baginda serta para sahabatnya yang mulia.

Tajuk ini dipilih sempena dengan sambutan Isra’ dan mikraj 1432h. Ramai di antara kita menganggap kita meraikan Isra’ dan Mikraj ini adalah kerana ingin umat terus menerus mengingati peristiwa besar yang berlaku ke atas Rasul junjungan kita. Maka kita adakan majlis-majlis ta’lim dan penceritaan semula kisah Isra’.  Disamping kita anjurkan pertandingan menulis dan bercakap berkenaan tajuk ini pada anak-anak kita. Ini merupakan satu usaha yang baik dan layak dipuji atau mendapat kepujian.

Namun, apakah kita sendiri sedar semakin banyak angka meningkat dalam bilangan Tahun Hijrah maka semakin ramai pula umat Islam Melayu terpesong akhlak dan syariatnya? Tidak dinafikan jumlah yang semakin baik juga ramai. Tetapi yang pasti majlis ceramah tidak pernah boleh menandingi majlis hiburan dalam jumlah penyertaan. Apakah ini kerana tiada aktiviti pendidikan atau penyampaian ilmu agama? Atau apakah ini indikator kepada kerendahan mutu program didikan Islam kita? Apakah ruh majlis seperti sambutan maulidurrasul, Maal Hijrah, Israk Mikraj, Ihya Ramadhan tidak mampu menanggung kelalaian ummah? Marilah sama-sama kita semak kembali apa yang terjadi pada ummat kita hari ini.

Israk dan Mikraj berlaku pada zaman Makkah iaitu zaman yang kurang lebih seperti kita hari ini. Islam sedang berkembang maksiat juga bertaburan. Masa di mana umat Islam sedang melangkah ke arah pembentukan sebuah negara Islam iaitu Madinah. Di masa berlakunya Israk tekanan ke atas Islam sangat dahsyat. Kerana itulah Nabi Muhammad di bawa untuk mendapat perakuan daripada Rasul-rasul terdahulu seperti Adam a.s, Yahya dan Isa a.s, Idris a.s, Yusuf a.s, Harun a.s, Musa a.s dan Ibrahim a.s bagi meneguhkan lagi jiwa Baginda Rasulullah untuk meneruskan jalan dakwah kepada mentauhidkan Allah. Hasil dari Israk dan Mikraj ini adalah keyakinan yang padu kepada benarnya jalan ini pada Rasulullah sebagaimana keadaan Musa a.s setelah melihat cahaya di bukit Thur, juga keadaan Ibrahim setelah diselamatkan dari api Namrud.

Tempias dari Israk pula adalah penentangan yang semakin menjadi-jadi dari puak musyrik. Mereka semakin galak mempersendakan ar Rasul walaupun setiap hujah mereka dapat Rasul patahkan. Kekufuran mereka semakin jitu dan mereka semakin yakin yang Rasul sudah benar-benar sesat. Sedang peristiwa ini membawa kesan  berlainan kepada Abu Bakr r.a yang diangkat menjadi as Siddiq kerana membenarkan peristiwa di luar logika ini selagimana ia datang dari Muhammad Rasulullah.

Israk juga menjelaskan kepada kita peranan Solat dan dakwah sebagai penyelamat Iman. Semasa Mikraj Rasul mendapat pengakuan kenabian dari semua Rasul dan Nabi yang dijumpai baginda di tujuh lapisan langit, manakala sekembalinya di bumi baginda terus menyebarkan dakwah dan bercerita tentang Israk.  Inilah dua perkara yang berkaitan dalam menjaga Iman ummah. Berdakwah dan solat.

Masalahnya hari ini kita menganggap dua perkara ini remeh. Sekiranya ruh israk dan Mikraj itu keimanan bahawa Islam adalah benar maka jasadnya adalah dakwah dan mindanya adalah Solat. Bagi menghadapi jalan yang sukar dalam dakwah Allah telah memberi pesan dalam al Quran: mohonlah bantuan dengan kesabaran dan Solat. Kita seharusnya menanggapi isra’ dan Mikraj ini pelajaran yang besar buat ummah. Bukan sekadar peristiwa besar yang perlu dirayakan dan dimeriahkan.

Takrif Isra’ dan Mikraj.
Isra’ beerti perjalanan malam, manakala Mikraj pula beerti naik atau diangkat ke atas.
Isra’ dan Mikraj ini melibatkan perjalanan dua keadaan iaitu Isra’ mendatar dari Makkah ke Baitul Maqdis dan Mikraj menegak dari Baitul Maqdis ke Langit.

Peristiwa ini sebagai satu mukjizat Rasulullah yang besar .

Dalil-dalil Isra’ dan Mikraj:
Surah al Israa ayat 1.
Surah an Najm ayat 13-18.

Diriwayatkan oleh Abdullah ibn Ahmad dari Ubai ibn Ka’ab r.a dari Rasulullah s.a.w telah bersabda: Terbuka bumbung rumahku ketika aku di Makkah maka turunlah Jibril a.s lalu membelah dadaku dan membasuhnya dengan air zamzam kemudian didatangkan sebuah bekas dari emas yang penuh dengan hikmah dan iman lalu dimuatkan ke dalam dadaku kemudian ditutupinya , seraya memimpin tanganku lalu membawaku ke langit ketika kami tiba di langit dunia lalu dia meminta izin agar dibuka pintu langit lalu bertanya: siapa ini? Jibril menjawab: Jibril. Bertanya lagi: apakah ada sesiapa bersamamu? Jibril menjawab: Ya, bersamaku Muhammad. Bertanya lagi : diutuskan kepadanya? Jibril menjawab : Ya. Lalu terbukalah pintu langit. Setelah kami melepasi langit dunia ada seorang lelaki yang disebelah kiri dan kanannya kelompok hitam ketika dilihat disebelah kanan dia tersenyum ketika dia melihat di sebelah kiri dia menangis. Dia berkata: Selamat datang wahai Nabi yang soleh dan anak orang yang soleh. Baginda bersabda: Aku bertanya pada Jibril a.s: Siapa ini? Jibril menjawab : inilah Adam , kelompok Hitam di kanan dan kirinya adalah anak-cucunya golongan kanan adalah ahli syurga yang kiri adalah ahli neraka, seandainya dia melihat golongan kanan dia akan tersenyum manakala seandainya dia melihat golongan kiri dia menangis, Rasul bersabda: kemudian JIbril membawa ku ke atas lagi sehinggalah sampai ke langit kedua berkata Jibril pada penjaga langit kedua : bukalah. Maka berkatalah penjaganya sepertimana penjaga pintu langit pertama tadi maka dibukalah kepadanya.[1]
Hukum Menyambut Isra’ dan Mikraj.[2]

Untuk merayakan Israk dan Mikraj ulama berkhilaf dengan dua pandangan yang sangat berbeza;
1-      Digalakkan walaupun tidak mengatakan ianya sunat yang melazimkan pahala.
2-      Haram bahkan bid’ah dalam beragama dan berdosa.

Apa maksud ulama yang pertama? Ia tidak mengatakan mesti disambut. Tetapi menerangkan elok sekiranya kita memperingati hari ini untuk menyebut kembali peristiwa yang besar ini.

Manakala pandangan yang kedua takut sekiranya umat menganggap ianya adalah perayaan Umat Islam yang mesti disambut. Kedua – dua pandangan ada tujuan Syariat mereka yang besar. Pertama ingin meletakkan umat dalam maslahah dan yang kedua ingin menjauhkan umat dari mafsadah.  Bagaimana pegangan kita.
Kita yang mutakhir ini dapat melihat kedua-dua hujah dan bersetuju dengan kedua golongan maka wujudlah pula golongan ketiga iaitu pandangan ulama yang mengambil jalan tengah. Harus menyambut hari besar Umat Islam dengan sedar dan faham ia bukanlah perayaan dan ibadah yang mesti dilazimi setiap tahun.

Khilaf Dalam Menentukan tarikh Isra’ dan Mikraj.
Berkenaan tarikh berlakunya Isra’ ulama sirah ada  6 pendapat yang berbeza:[3]
1-      Tahun Kenabian – Imam Tobariy
2-      Tahun kelima kenabian – Imam Nawawi dan Qurtubiy
3-      27 Rejab Tahun 10 kenabian- al Mansur Furi
4-      Sebelum hijrah 16 bulan/ Ramadhan Tahun 12 kenabian .
5-      Sebelum Hijrah 14 Bulan/ Muharram Tahun 13 Kenabian.
6-      Sebelum Hijrah 12 bulan/ Rabiul Awal tahun 13 kenabian.
Apapun Syeikh Mubarakfouri mengatakan pandangan 1-3 tidak tepat kerana kewafatan Khadijah pada Ramadhan 10 kenabian dan pada ketika itu Solat belum difardhukan . Semua ulama bersependapat bahawa Solat difardhukan pada malam Isra’. Di akhir bab isra’ dan Mikraj syeikh menyebut ia berlaku samada sebelum baiah Aqabah yang pertama atau antara dua bai’ah Aqabah.
Dari khilaf ini jelas pada kita tidak dapat dipastikan bila isra’ benar benar berlaku. Maka sewajarnya setiap hari adalah hari memperingati Isra’ dan Mikraj.

Tempat Berlakunya Isra’.

Penceritaan Isra’ secara jelas disebut dalam surah Isra’ sendiri pada ayat pertama yang menerangkan perjalanan Nabi berlaku dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsha di Bandar al Quds.
Walaupun ada riwayat dari Ibnu Ishaq menyatakan Rasulullah diisra’kan dari rumah Ummu Hani ketika baginda bermalam di sana.[4] Namun pandangan ini dapat disangkal dengan keIslaman Ummu Hani yang lebih lewat dan juga ia jelas berlainan dengan apa yang Allah ceritakan dalam ayat pertama surah Isra’.
Apakah Rasulullah isra’ Secara Zahir atau Hanya Dalam Mimpi.
Adapun dalam masalah ini ada riwayat mengatakan baginda hanya di Isra’ dan Mikrajkan ruhnya sahaja. Riwayat ini direka reka dan dikumpulkan dalam kitab berjudul “Mikraj Ibnu Abbas”[5]  dan pandangan ulama dulu dan kini adalah sepakat bahawa Rasulullah mengalami Isra’ dan Mikraj dalam keadaan sedar dan penglibatan Ruh dan Jasad.
Sekiranya kita melihat kepada hujah akal sahajapun sudah cukup untuk menjelaskan pendirian ini. Ustaz Umar al Telmesani[6] menjelaskan 12 hujah kenapa beliau begitu yakin dengan Iman yang kukuh bahawa Isra’ benar-benar berlaku pada ruh dan jasad:[7]
1.       Sekiranya hanya melalui ruh maka tidaklah Isra’ itu menjadi mukjizat atau tanda kekuasaan Allah. Mimpi dan alam ruh adalah tidak terbatas pada masa dan tempat. Siapapun mampu bermimpi dengan mimpi yang sama.
2.       Allah menyebut dalam ayat pertama surah Isra’ “yang memperjalankan hambaNya” bukan ruh hambaNya.
3.       Kalaulah hanya mimpi orang kafir tidak akan mempersendakan Rasul.
4.       Rasulullah mengimamkan para Nabi dan Rasul dan pencirian Rasulullah dalam menyifatkan baitul maqdis menunjukkan baginda berada di sana.
5.       Jibril datang menjemput baginda. Sekiranya hanya mimpi tidak perlulah kepada kedatangan Jibril.
6.       Dialog baginda dengan malaikat penjaga setiap pintu langit menandakan keberadaan baginda di muka pintu.
7.       Begitu jugalah pertemuan baginda dengan nabi-nabi yang berada di tingkat-tingkat langit yang berbeza.
8.       Jibril memimpin tangan baginda sehinggalah sampai ke peringkat langit yang terdengar desis al Qalam.
9.       Sekiranya mimpi bagaimana mungkin Rasulullah membayangkan keberadaannya di Sidratul Muntaha?
10.   Rasulullah mengkhabarkan dia masuk ke dalam Syurga dan melihatnya.
11.   Dalam riwayat Ummu Hani ada mengatakan Rasulullah Salat Isya dan Subuh bersama mereka.[8]
12.   Sekiranya Nabi Ibrahim boleh menjadi Khalil Allah Nabi Musa boleh bertutur dengan Allah di dunia apa masalahnya dengan kita beriman bahawa Penghulu segala Rasul dijemput mengadap Allah dalam keadaan jasad dan ruh.

Sudah jelas lagi nyata bahawa Isra’ dan Mikraj Rasul dalam keadaan jasad dan ruh.
Apa yang berlaku dalam Isra’ dan MIkraj:
1.       Pembedahan dada Rasul kali ke -2[9]
2.       Perjalanan ke Palestin.
3.       Menjadi Imam Solat kepada para nabi.
4.       Dihidangkan Arak dan Susu Rasulullah memilih susu.
5.       Diangkat ke langit.
6.       Melihat 4 anak sungai. Furat , Nil dua lagi terlindung.
7.       Bertemu Nabi Adam.
8.       Bertemu Nabi Isa dan Yahya.
9.       Bertemu Nabi yusuf.
10.   Bertemu Nabi Idris.
11.   Bertemu nabi Harun.
12.   Bertemu Nabi Musa.
13.   Bertemu Nabi Ibrahim.
14.   Menuju Sidratul Muntaha.
15.   Melihat cahaya.
16.   Menerima perintah solat 50 waktu.
17.   Berulang alik meminta diringankan solat sehingga menjadi 5 waktu sahaja.
18.   Bertemu malaikat Malik.[10]
19.   Melihat Neraka dan seksaannya.
20.   Melihat Syurga dan nikmatnya.
21.   Kembali ke Palestin .
22.   Minum dari minuman saudagar Quraisy dalam perjalanan pulang ke Makkah.
23.   Pulang Ke Makkah dan solat Subuh di Masjid al Haram.
24.   Menceritakan kepada Abu Jahal.
25.   Mengulang cerita kepada Quraisy.
26.   Soal jawab dengan Quraisy.
27.   ‘Pembenaran Abu Bakr r.a. terhadap Isra’ Rasul.

Antara Hikmah Mengapa Rasul diisra’ ke al Quds.
Syeikh Muhammad al Ghazaliy menjawab persoalan mengapa Rasulullah tidak diMikrajkan terus dari Makkah? [11]
Dengan menyandarkan kepada sejarah dahulu kala kenabian Bani Israel. Walaupun dahulu Baitul Maqdis menjadi tanah yang diterangi oleh wahyu dan kenabian telah dipudarkan dengan kedurhakaan kaum Yahudi lalu kenabian itu telah dicabut dari mereka dan dikurniakan kepada rasulullah yang mewarisi kemuliaan Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak dan Nabi Yaakob.
Maka perjalanan ini menjadikan penggabungan kebenaran lalu dengan risalah hari ini lantas menjadikan al Aqsha masjid ketiga selepas Masjid al Haram dan an Nabawi. Perjalanan ini juga membawa kepada kemuliaan dan penghormatan kepada keimanan yang telah lama menyusup dalam daerah ini.
Dr Ramadhan al Buthiy menyebut bahawa ini menandakan bahawa kemestian orang muslim untuk terus memperjuangkan dan mempertahankan kehormatan tanah al Quds sebagai milik dan kemegahan umat Islam dari tangan tangan orang kafir dan pendatang haram.

Kedudukan Baitul Maqdis Dalam islam.
Sabda Rasulullah: Tidak usah menempuh perjalanan yang payah kecuali untuk tiga masjid: masjid al Haram, Masjidku ini dan masjid al Aqsha (Hadis Muttafaqun Alaih.)
Sabda baginda lagi: Kelebihan solat di Masjidil Haram dari masjid lain 100 000 solat, dan di Masjidku 1000 solat, dan di masjid Baitul Maqdis 500 solat. (Riwayat Imam Ahmad)
Abu Zar al Ghifari bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Wahai rasulullah Masjid manakah yang mula-mula di bina di muka bumi? Baginda bersabda: Masjidil Haram, aku bertanya lagi: kemudian masjid mana? Baginda bersabda: masjid al Aqsha. Aku bertanya: berapakah tempoh antara keduanya? Rasul bersabda : 40 tahun. (Muttafaqun Alaih.)

Pengajaran yang Mesti kita Petik:
1.       Isra’ dan Mikraj adalah peristiwa yang wajib kita imani. Beriman mengenainya adalah sebahagian dari Iman kepada Allah, malaikat ,rasul, al kitab, hari Kiamat serta Qadha’ dan Qadar Allah.
2.       Isra’ dan Mikraj menjelaskan kedudukan Rasulullah yang sangat tinggi di sisi Allah.
3.       Isra’ menjelaskan kepada kita Islam adalah agama dari Allah yang syariatnya menggabungkan akidah sekalian nabi dan ibadah yang diajarkan oleh Rasulullah.
4.       Faham dan yakin apa yang Allah ingin lakukan tidak memerlukan sebab walaupun kebiasaannya Allah jadikan baginya sebab Musabab.
5.       Ketinggian fardhu Solat.
6.       Kewujudan makhluk ruh dan alam ghaib.
7.       Para Rasul dan orang Soleh Hidup di alam Barzakh.
8.       Kewajipan mempertahankan bumi Palestin.
9.       Bumi Palestin adalah milik kita.
10.   Memperkatakan kebenaran tidak semestinya memenuhi kehendak logik.
11.   Mesti di tanam kecintaan kepada Rasulullah lebih dalam setiap hari.
12.   Sentiasa mendalami lagi ilmu dalam memahami sirah Rasul dan sejarah Islam.
13.   Berusaha sedaya upaya menghentikan tabiat buruk dalam pergaulan dan juga bersendiri.
14.   Membersihkan harta dari sumber yang ragu dan haram.
15.   Berusaha sedaya upaya untuk mencari keredhaan Allah.
16.   Bersabar dalam jalan dakwah .
17.   Meyakini bahawa kehidupan dunia ini hanya sekejap sahaja.
18.   Bersedia untuk berubah dan menjadi lebih bermanfaat untuk Ummah.

Alhamdulillah selesai pada jam 5;25 pagi 26 Rejab 1432.


[1] Hadis 150 dari as Sirah Nabawiyyah Said Hawwa.
[2] Ringkasan penulis dari buku-buku Akidah dan pengajian-pengajian berkitar masalah perayaan hari kebesaran umat Islam.
[3] Ar Rahiiqu al Makhtum: Sofiu ar Rahman al Mubarakfouri. m/s 132 cetakan 1422 Hijrah
[4] Sirah Ibnu Hisyam.
[5] Fiqh Seerah Dr Ramadhan al Buthiy.
[6] Salah seorang Mursyidul Am Ikhwan al Muslimin.
[7] Risalah Isra’ dan Mikraj; Ustaz Umar al Telmesani.
[8] Di sini antara sebab mengapa kita menolak riwayat Ummu Hani kerana pada pengetahuan semua bersependapat Solat difardhukan pada malam Isra’.
[9] Pertama semasa bersama bani sa’ad, 
[10] Dari 18-20 tidak dapat dipastikan turutannya yang sebenar.
[11] Fiqh Seerah Muhammad al Ghazali.

No comments:

Post a Comment