Thursday, April 2, 2009

Ringkasan Risalah Islam dan HUKUM.

Oleh : Maulana Ali Hassan AnNadwiy
ringkasan oleh: pra daie

  • Islam hari ini kembali kepada zaman yang sukar. Sukar untuk diamalkan, jauh dari kemahuan peribadi, jauh dari arus zaman dan tidak selari dengan kehendak semasa. Bukan kerana Islam itu sudah tidak relevan atau serasi dengan manusia untuk dijadikan sistem hidup, tetapi kerana manusia telah hidup dalam satu sistem yang musnah dan merosakkan. Inilah yang dikatakan Islam itu kembali dagang. Kembali kepada zaman awal kemunculannya.
  • Kemusnahan ini perlu kepada pemulihan. Pemulihan itu hanyalah melalui dakwah dan tarbiyah yang jelas dan luas. Allah telah menjanjikan kepada penerusan hayat dakwah dan islah pada muka bumi ini akan berterusan sehinggalah hari kiamat. Kita tidak membincangkan pembaharuan Juz'i tetapi kulliy atau kaffah yang menganjur kepada menegakkan Islam sebagai sistem hidup yang lengkap dan menyeluruh, yang merangkumi seluruh aspek kehidupan masyarakat manusia.
  • Orang yang memikul dakwah ini dahulu adalah nabi-nabi dan rasul-rasul. Tetapi kini mereka telah tiada yang menggantikan mereka adalah orang yang mewarisi keistimewaan keistimewaan mereka. Mereka yang berada dalam jalan dakwah semestinya mereka yang mempunyai keimanan yang jitu dan kukuh, Akhlak yang kuat dan bersih, Kesabaran dan kegigihan yang tinggi, Keikhlasan dan ketelusan yang benar-benar murni dan juga kecerdasan dan kebijakan yang meyakinkan.
  1. Mereka hanya mengharapkan Allah dalam hayat mereka dan mereka sentiasa mendampingi Allah dengan hati mereka yang tawaddhuk dan khusyuk. (menjadi hamba yang sebenar)
  2. Mereka bersih dari sebarang keinginan duniawi atau sementara. Sekalipun mereka berkemungkinan memilikinya. Bahkan mereka bekerja tanpa mengaharapkan natijah kerja mereka melainkan redha dari Allah. (pekerja yang ikhlas)
  3. Mereka bersabar dan cekal dalam menanggung ujian jalan dakwah, biarpun terpaksa melalui jalan yang sangat panjang. Bahkan ramai di kalangan mereka tidak melihat hasil kerja mereka dalam hayat mereka yang panjang. Oleh itu mereka tidak pernah tergopoh gapah dalam melalui denai tarbiyah. mereka tidak melulu dalam menukar tahap dakwah. (perancang yang sabar)
  4. Mereka menyerahkan seluruh jiwa, raga, masa dan tenaga kepada dakwah. Mereka tidak terkesan sedikitpun dengan ugutan atau tawaran dunia, kerana mereka hanya menanti ganjaran dari Allah.(pendana yang optimis)
  5. Mereka menjadikan dakwah itu darah yang mengalir dalam urat saraf mereka. sehingga gerak geri mereka menjadi senjata dakwah yang paling ampuh. (tentera perubahan)
  6. Mereka sentiasa memilih yang paling tinggi dalam ibadah mereka dan tamak dalam mengerjakan perkara perkara sunat. Bagi mereka, kepayahan dalam mengerjakan ibadah itu satu nikmat. Namun mereka tidak pula menyuruh orang lain bergitu bahkan sentiasa memudahkan orang lain dalam menjelaskan konsep ibadah. Sebab itulah orang disekeliling mereka tidak melakukan yang dilarang dan tidka pula meninggalkan yang disuruh. (pemimpin yang bertanggungjawab.)
  7. Mereka sentiasa menumpukan kepada pendidikan pelapis atau pengkaderan generasi baru. Mereka mengislahkan masyarakat dengan menyediakan generasi baru yang lebih soleh, yang lebih bertenaga mengislahkan manusia. (murabbi masa depan.)
Ana meringkaskan point-point ini supaya ana nampak dengan lebih jelas inti risalah yang telah Syeikh Ali Hassan An Nadwiy tulis, dengan hanya membaca point-point ini antum masih perlu kepada risalahnya yang penuh kerana huraian di sana sangat penting sebagai nota kepada daie.