Friday, January 15, 2010

Wehdah Islamiyah Keperluan Ummah.



Oleh : MUABO
Masalah Sebenar Umat Islam.
ISLAM merupakan agama yang dianuti oleh paling ramai penduduk bumi. Seharusnya Islam merupakan kuasa terbesar dunia. Negara-negara Islam seharusnya menjadi negara kehormat dan berpengaruh. Nasib penganut agama Islam selayaknya terbela dan baik. Ini logik yang kita sepatutnya rasakan ia berlaku. 

Tetapi, Umat Islam hari ini ditindas secara peribadi dan juga kelompok. Penghinaan ini berlaku secara terang-terangan dan yang lebih menyedihkan sudah hampir seratus tahun. Kita lihat kisah seorang ibu ditikam dalam mahkamah di German bukan sekali tetapi berbelas kali. Tanpa sebarang pembelaan. Kemudian kita lihat kelompok muslim di Utara China dibantai sehingga mati puluhan ribu senyap tanpa tindakan. Paling menyakitkan kisah Palestin dijajah dibantai dikeliling negara-negara Arab Muslim sehingga kini Ghaza sudah disekat bantuan kemanusiaan selama 3 tahun. Tidak ada tindakan wajar yang berlaku.
Inilah bahana hilangnya perpaduan, wehdah Islamiyah yang ditanam oleh Rasul sejak 1431 tahun lalu ghaib langsung hilang.  Kenapa ini berlaku? Ada yang mengatakan kerana wujud taassub pada mazhab. Ada yang mengaitkannya pada bangsa Arab sudah kembali kepada Asobiah. Ada yang mengaitkan tidak berjalan sistem khalifah. Ada pula menyalahkan zaman, kerana ini adalah akhir zaman. Semuanya benar. Tetapi , bahana ini semua hanya dari satu virus. Iaitu meninggalkan Islam dan mengambil selain darinya. 

Islam sering disandarkan pada solat, puasa, zakat,Haji dan Syahadah. Syiar Muslim terkurung dalam Perayaan, Qurban, Kopiah, Jubah, Tudung dan Kubah serta menara. Sebenarnya Islam ini adalah sistem kehidupan. Seperti kita hidup dalam sistem demokrasi sekarang sistem hidup. Islam itu telah kita gantikan dengan demokrasi. Yang bijak sedikit menamakan demokrasi islamiy dan berbagai tempelan lain. Sebenarnya kita sudah menolak Islam dan inilah bahana yang kita tanggung. Pendidikan kita di arah kepada material, Keluarga kita di arah kepada keduniaan, gaya hidup kita : makan, pakai, cakap dan pergaulan menuju kepada hiburan dan seronok-seronok. Inilah puncanya. Kita bukan sekadar hilang wehdah tetapi kita hilang makna Islam dan Muslim itu. Inilah yang disebut permasalahan pokok umat. 

Masalah kita yang sebenar ialah hidup kita bukan lagi berlandaskan al Quran dan as Sunnah serta sumber-sumber hukum Islam yang lain. Kita dipandu dan diseret oleh ideologi sesat yang sudah tamat tempoh. Tidak percaya ? Lihatlah apa sudah berlaku kepada anak muda yang akan kita harapkan meneruskan pengurusan dunia. Zina dan gadis muslimah sudah bersatu. Jenayah dan remaja Muslim sudah sinonim. Kita harus kembali kepada diri kita. Kembali kepada tujuan penciptaan kita. Kembali kepada hakikat kejadian kita. Kembali kepada Allah.

Apa Kaitannya Dengan Wehdah Islamiyah?
Usaha untuk kembali sudah lama berlaku. Ada yang melalui Usrah, ada yang melalaui sekolah, ada yang menubuhkan parti, ada pula yang menubuhkan yayasan. Bagus sekurang-kurangnya mereka ini melakukan sesuatu. Tetapi, apa yang kita benar-benar perlu adalah persaudaraan Aus dan Khadraj berulang. Persaudaran Muhajirin dan Ansaar sekali lagi berlaku. Melayu, India, China, Arab, Inggeris, bahkan apa jua bangsa harus kita serapkan persaudaraan atas nama Islam. 

Tetapi, apa yang berlaku sebaliknya. Saya ambil contoh di Somalia. Mereka Muslim dan satu etnik iaitu somaliy semuanya. Tetapi berpecah kerana pendekatan beramal yang berbeza dan sehingga kini berperang sesama mereka dengan hasutan dari Amerika, Ethopia dan Kuasa-kuasa Kristian sekeliling. Jadi kehilangan wehdah dalam amal-amal Islamiy telah menjauhkan mereka dari kehendak Islam yang sebenar. Mereka kini berperang sesama gerakan Islam untuk mengambil alih kuasa di Somalia. 

Alhamdulillah ia belum berlaku di tempat kita berpijak. Tetapi, kemana senario ini akan menjurus kalau tidak ke arah itu sekiranya perpaduan atas nama Islam tidak larat diwujudkan? Kita perlukan wehdah Islamiyah agar gerak kerja mengembalikan manusia kepada Islam lebih efektif  dan lebih jitu. Sejarah awal Islam mengajar kita begitu. Sirah Hijrah, Penggabungan tentera Salahuddin. Penggabungan tentera Saif Ad Daulah menentang Monggol semua mengajar kita kepada penyatuan dan penyatuan ini berasaskan Islam. 

Kita kini dilanda fitnah besar terutama antara gerakan salafiah dan sufiyah. Sehingga satu peringkat berlaku kafir-mengkafir antara dua pihak. Sememangnya ini bukanlah isu baru, bukan juga perkara ringan. Tetapi mari kita fikir sejenak kenapa perlu kita berkelahi antara dua pihak sedangkan Muslim dan Munafiq Madinah tidak pernah berperang? Tidakkah itu lebih jauh dari perbezaan mazhab? Perbezaan Madrasah?  Kita semua Muslim, suka atau tidak kita bersaudara. Padahal dalam satu keluarga boleh berlaku abang suka ayam dan  adik suka ikan. Inikan pula dalam agama yang luas ini. Khilaf bukan alasan untuk berlaku perpecahan tetapi sekadar menghasilkan ummat yang terbuka dan berasaskan ilmu dalam amalan. Tidak salah jika berlaku muzakarah ilmiah antara dua aliran tetapi masalah timbul apabila ianya bukan ilmiah bahkan dosa dan maksiat ilmu. Ini semua racun kepada ukhuwah Islamiyah yang sepatutnya kita belai. 

Masalah ini saya kira berlaku atas kedengkelan pihak bertelagah. Mereka mungkin alim dalam lapangan keilmuan mereka tetapi kurang cerdik dalam mengeluarkan pandangan dan pendapat. Bukan golongan ini tidak tahu bagaimana Ibnu Abbas pernah mengeluarkan fatwa berbeza kerana satu masalah yang sama kerana penyoal berlainan. Inilah disebut bijak memberi jalan. Jika seseorang menaiki kuda janganlah disuruh dia melalui jalan berbatu, jika seorang menaiki unta apa dirisau menunjuknya jalan merentas sahara.
Antara punca lain pertentangan ulama ini berlaku bukan sesama mereka sahaja tetapi menjadi hebahan umum. Jika dahulu perdebatan sebegini hanya selitan dalam kitab kitab besar yang secara maklumnya tidak dibaca oleh orang yang awam pengetahuannya tetapi kini diselit dalam majalah dan akhbar umum. Bahkan diulang-ulang dan dilaung dalam ceramah serta penyampaian bersifat umum. Semua ini fitnah bagi pemilik ilmu.  Kita siswazah jurusan ini harus ambil pusing kesilapan yang telah berlaku ini. Islam itu luas dan fleksibel Islam juga mudah, yang paling asas Islam itu menyeru perpaduan bukan permusuhan.

Di mana Kita Mahu Mula Melangkah?
Pertama sekali kita harus belajar. Mendalami Islam dengan semampu mungkin dalam segala lapangan yang berkaitan dengan Islam. Jangan cukup dengan satu pandangan dan jangan sombong dengan sedikit ilmu yang kita cicip. Kita harus menganggap apa yang kita tahu adalah Ihsan ataupun rahmat dari Allah Yang Maha Mengetahui.

Kedua Ikhlaskan diri dalam belajar dan menyampaikan hanya untuk Allah. Baik dalam menyampaikan ilmu keduniaan atau Ilmu Islam. Kita harus menampilkan ciri Muslim terhadap Ilmu. 

Ketiga bergaul dengan siapa jua dan letakkan batas-batas pergaulan. Kita harus ingat orang mukmin itu merasa Izzah apabila bersua orang Kafir dan tawaddhuk sesama mereka bahkan berkasih sayang. Memahami konsep pergaulan dan batas-batas bergaul.

Keempat memperbanyakkan kerjasama berkumpulan untuk menjayakan usaha dakwah tidak kisah apa jua latar pendekatan rakan kita. Tanpa sebarang prasangka dan juga keinginan dunia. 

Kelima menanam cita-cita agar terjadinya kesatuan gerak kerja Islam itu di tangan kita.
Keenam merebut apa sahaja peluang untuk menggabungkan diri dalam amal Islami dan memberi komitmen penuh untuk menjayakannya.

Ketujuh sebarkan apa yang kita faham dalam bentuk perkongsian kerana tidak mustahil apa yang ada pada orang lain lebih bertepatan dengan al Quran dan Sunnah berbanding dengan apa yang kita ada. 

Kelapan jangan tunggu sampai esok.

Kesembilan menyandarkan gerak kerja kita hanya kepada Allah. Natijah dan kejayaan dakwah kita bukanlah matlamat bahkan ianya hanya bonus dari Allah tetapi yang sebenarnya kita mahukan redha Allah.

Penutup:
“Barangsiapakah yang lebih baik kata-katanya dari mereka yang mengajak kepada Allah dan berkata : Sesungguhnya aku dari kalangan Orang-orang Muslim.”