Saturday, June 13, 2009

Solat sebagai penilaian dakwah.



Solat sebagai penilaian dakwah.

Assalamualaikum. Ketika saya diminta untuk menulis dalam ruangan ini wakil penerbitan Haluan Siswa menyatakan agar saya menulis berkenaan apa sahaja dan jika boleh biarlah berkaitan dengan tempat saya. Mulanya saya agak penasaran untuk memilih fokus yang menepati kehendak penulisan dan juga keinginan Haluan Siswa. Setelah saya berfikir agak lama saya teringat bahawa siswa kini bukan lagi seperti dahulu.

Siswa kini sudah matang untuk pembinaan pemikian dan gaya fikir mereka. Bahkan ramai di antara siswa sekarang berani membina dua alam dalam satu masa. Iaitu alam rumahtangga dan alam meraih pengalaman. Mungkin saya tidak perlu menulis mengenai keilmuan sekiranya sasaran pembacanya adalah siswa atau pelajar. Mereka boleh mendapatinya dalam dewan kuliyah. Saya juga tiada yang berlainan jika saya menerangkan tentang bagaimana menjadi pasangan atau ibu bapa yang baik kerana apa bezanya pasangan suami isteri walaupun dalam beza budaya.

Tetapi saya sangat merasakan perbezaan bagaimana masyarakat kita dan tempat saya diami kini dalam menerapkan solat pada generasi kanak-kanak. Walaupun kita dan Sudan mendapati hadis mendidik anak-anak solat dari sumber yang sama. Tetapi setelah saya amati sendiri realitinya maka jelaslah pedekatan kita sangat berbeza dan perbezaan ini menghasilkan keainan dalam solat antara kita dan masyarakat Sudan.

Pro dan Kontra:

Tidak adil jika saya katakan Sudan jauh lebih baik dari Malaysia dalam nilaian solat begitu juga sebaliknya. Sebenarnya menilai adalah satu aktiviti yang sangat subjektif. Jika dilihat pada solat masyarakat Sudan kita akan dapati keperihatinan mereka dalam menepati waktu solat dan juga bersolat secara berjamaah. Manakala jika dipandang pada budaya solat kita di Malaysia, kita lebih mengutamakan kualiti dan ketertiban solat. Solat kita lebih kelihatan tenang dengan pakaian yang khusus dan bersih.

Kadang-kadang mengutamakan perkara kecil sehingga terlepas perkara besar sering berlaku di kalangan kita contohnya dalam penerapan solat. Orang kita selalu mengingatkan agar jangan solat dengan pakaian sembarangan yang belum jelas bersihnya. Kadangkala sehingga terlintas di kepala anak-anak kita lebih baik tidak solat dari solat dengan pakaian yang tidak berapa sesuai. Juga berkenaan tempat solat. Berapa ramai anak muda yang terlepas solat atas alasan tidak jumpa masjid dalam perjalanan.

Namun jika kita tidak mengendahkan langsung perkara-perkara tertib sebegini ada kemungkinan yang besar akan terganggu. Seperti di kalangan masyarakat Arab anak-anak muda mereka kadang-kadang solat tapi auratnya terdedah. Adakala pula solat berjemaah di tempat yang tidak bersih. Bahkan banyak Masjid di sini tidak menjaminkan keselesaan udara kerana bau yang busuk oleh jemaah yang entah dari mana datangnya.

Pengajaran atau pendidikan:

Perkara-perkara ini sebenarnya perlu kepada penerapan yang sepadu. Perlu dipelajari dari sumber syariah itu bagaimana mendirikan ibadah dan bagaimana pula pendekatan yang seharusnya. Saya sangat kagum dengan budaya menghormati waktu solat masyarakat di sini. Bahkan boleh dikatakan semua masjid hidup dan bukanlah dipenuhi atau dikuasai oleh golongan bersara sahaja dari belasan tahun lagi sudah ada generasi akrab dengan masjid. Jadi ini perlu kita serapkan dan bina dalam masyarakat kita. Janganlah kita teruskan budaya tidak sihat generasi sebelum kita yang bersikap garang dengan anak-anak Qariyah di dalam masji. Walaupun perkara ini adalah bahan terpencil tetapi fikrah yang teselindung sangat besar impaknya. Inilah yang disebut Nabi sebagai ibsyiruu wala tunfiruu iaitu bawalah kegembiraan jangan kalian menjauhkan orang dari Islam. Kanak-kanak fitrahnya suka ke masjid. Tetapi mari kita lihat siapa yang menjauhkan mereka dari masjid? Adakah orang yang tidak suka pada masjid? Atau penggiat pusat maksiat? Sudah tentulah AJK masjid yang garang-garang dan sering menjerkah mereka ketika mereka sedikit riuh.

Tidak pernahkah kita mendengar bagaimana Rasulullah melayani seorang badawi yang membuang najis di Masjid baginda? Rasulullah menegah sahabat memukulnya bahkan Rasulullah menjadikannya tetamu. Kita sering tersasul dalam perkataan mengajar dan mendidik. Kita fikir dengan kekerasan kita akan mampu mendisiplinkan jiwa sebenarnya kekerasan hanya untuk pengajaran bukan didikan. Didikan mendambakan kelembutan yang teramat sangat. Ini kita akan dapat lihat dalam sikap murabbi. Dalam mengajar mereka begitu tegas tetapi dalam mendidik sikap dan cara berfikir mereka sangat lembut.

Kita berbalik dalam bab penerapan solat. Sebagaimana kita kagum pada Arab begitu juga mereka kagum pada kita mereka kagum dengan tama’ninah kita dalam solat. Mereka memandang kita lebih bertamadun dalam mendirikan solat dengan pakaian yang bersih dan kemas. Bahkan mereka akan meletakkan kita sebagai Imam setelah mereka percaya dengan kemampuan kita menjaga tajwid dalam solat.

Inilah kesan kejayaan kita dalam pengajaran yang keras dalam menjaga tatatertib solat. Inilah jasa AJK surau yang garang pada anak-anak melayu yang bermain main dalam saf belakang ketika solat. Jadi di sini kita perlu faham setiap yang kita rasakan buruk ada baiknya dan yang kita rasakan baik ada buruknya maka ini semua memerlukan kepada islah dan muhasabah.

Akhir kalam:

Saya berharap apa yang saya tulis ini sedikit sebanyak dapat mengembangkan cara kita berfikir dalam melaksanakan gerak kerja dakwah. Solat merupakan kayu ukur kejayaan tarbiyah islami pada individu Muslim. Jika selesai bab solat maka syariat yang lain selepasnya adalah ringan dan mudah. Sesungguhnya solat itu adalah besar kecuali ke atas mereka yang khusyuk.

Semoga kita menjadi siswa yang menuju kepada pembentukan ummah yang lebih Islam dan cemerlang untuk penyediaan generasi yang lebih baik pada masa akan datang.